Followers

Saturday, 16 February 2013

Pegangan Berdasarkan Lafaz Umum Bukan Dengan Sebab Yang Khusus- ULUM QURAN.


Pegangan Berdasarkan Lafaz Umum Bukan Dengan Sebab Yang Khusus

1.0 PENDAHULUAN

Bidang pentafsiran Al-Quran merupakan nadi penting kepada akidah dan pegangan umat islam seluruhnya. Melaluinya diperolehi pelbagai panduan yang mencakupi  segala isu yang berlegar sekitar kehidupan manusia. Ulama terdahulu telah berusaha sedaya upaya melakukan pentafsiran dengan membuat penelitian terhadap pelbagai aspek, salah satunya mengenai Asbabun Nuzul.Asbabun Nuzul bermaksud sebab-sebab penurunan sesuatu ayat atau sebab-sebab penurunan sesuatu surah.

 Ibnu Daqiq al-Id berpendapat,mengetahui sebab turun ayat adalah jalan yang terang  ke arah memahami makna al-Quran. Al Wahidi pula menyatakan,sesuatu ayat tidak mungkin dapat ditafsirkan dengan sempurna, tanpa terlebih dahulu diketahui latar belakang cerita mengenainya dan memiliki  keterangan-keterangan turunnya sesuatu ayat.

Pengetahuan tentang Asbabun Nuzul memberikan impak yang besar kepada para pentafsir khususnya dan umat islam amnya. Melaluinya kita akan dapat merasai kebijaksanaan Allah yang telah menurunkan al-Quran yang syumul dan lengkap sebagai sumber perundangan, yang mencakupi ruang lingkup kehidupan manusia. Asbanun Nuzul membantu kita agar lebih memahami ayat-ayat yang diturunkan, di samping bertindak sebagai agen yang menyanggah sangkaan-sangkaan tidak benar tentang sesuatu batasan hukum. Sesuatu hukum dapat dikhususkan dengan Asbabun Nuzul, ilmu ini juga memberi pengetahuan yang jelas kepada umat islam ,mengenai sasaran ayat, iaitu kepada siapa dan sebab sebenar turunnya sesebuah ayat .

Pengetahuan mengenai asbabun nuzul diperolehi melalui riwayat yang sahih, apabila berlakunya sesuatu peristiwa atau jika terdapat pertanyaan kepada Rasulullah. Riwayat sahih mengandungi sighah sharih pada sababiah iaitu nas yang jelas dan tegas mengenai sebab, atau nas yang mengandungi kemungkinan sababiah,iaitu apabila perawi tidak mengungkap dengan jelas adanya sesuatu kejadian atau periatiwa disebalik turunnya sesuatu ayat .

Penelitian ulama memperlihatkan bahawa perkaitan antara jumlah ayat dengan jumlah sebab nuzulnya berbeza antara satu sama lain. Di mana, ada kalanya satu ayat mempunyai satu sebab nuzul, atau satu ayat yang mempunyai beberapa sebab nuzul, malah ada pula satu sebab nuzul untuk banyak ayat. Semuanya diperhatikan dengan sebaik mungkin. Walau bagaimanapun, terdapat perselisihan pendapat ulama dalam menentukan pegangan terhadap sesuatu ayat yang diturunkan dalam bentuk umum tetapi dengan sesuatu sebab khusus .

2.0  Pegangan Berdasarkan Lafaz Umum Bukan Dengan Sebab Yang Khusus.
Apabila sesuatu ayat yang diturunkan sesuai atau bersesuaian dengan sebab secara umum, atau dengan sebab secara khusus, maka yang umum itu diterap kepada keumumannya atau yang khusus itu diterapkan kepada kekhususannya. Contoh dalam perkara ini ialah sepertimana kisah  berikut: 
Daripada Anas Ibn Malik yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, al-Nasai’, al-Tarmizi dan Ibn Majah, di mana Anas berkata yang bermaksud : Apabila setiapkali isteri-isteri orang yahudi berhaid mereka dipulau dan dikeluarkan daripada rumah, tidak diberi makan dan tidak diberi minum, dan di dalam rumah mereka tidak bersama-sama. Dengan itu Rasulullah ditanya mengenai perkara itu, maka Allah menurunkan ayat di bawah:
firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 222 :
ويَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُواْ النِّسَاء فِي الْمَحِيضِ وَلاَ تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىَ يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِين

Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu(wahai Muhammad), mengenai (hukum)haid. Katakanlah darah haid itu satu benda yang menjijikkan (dan mendatangkan mudharat). Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu menghampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka telah bersuci, maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri. (al-Baqarah :222)

Selepas itu Rasulullah bersabda yang diriwayatkan oleh muslim, Abu Daud, an-Nasai’,al-Tarmizi dan Ibn Majah :
جَمِعُوهُنَّ فِى البُيُوتِ , وَاصْنَعُوا كُلّ شَىءٍ إِلاّ النِّكَاحِ

Maksudnya : Bersama-samalah dengan mereka di rumah, dan buatlah apa sahaja, kecuali menyetubuhinya.

Namun begitu terdapat perbezaan pendapat ulama dalam menentukan perkara yang menjadi fokus utama dalam menentukan pegangan sama ada pada lafaz umum atau sebab yang khusus. Hal ini berlaku apabila sesuatu sebab itu khusus, sedangkan ayat yang diturunkan berbentuk umum. Dalam hal ini ,pendapat ulama terbahagi kepada dua :
1.    Pendapat pertama : Jumhur ulama berpendapat bahawa, yang menjadi pegangan ialah lafaz yang umum, bukannya sebab yang khusus. Oleh itu hukum yang dipegang juga adalah lafaz yang umum dengan merangkumi bentuk sebab yang khusus.

Pendapat ini dapat dijelaskan melalui hukum berkaitan dengan ayat Li’an yang diturunkan apabila Hilal Ibn Umaiyyah menuduh isterinya berzina dengan Syuraik Ibn Sama’. Sebagaimana hadis daripada Ibn Abbas yang diriwayatkan oleh al- Bukhari, al-Tarmizi dan Ibn Majah, di mana Ibn Abbas berkata :

Maksudnya : Daripada Ibn Abbas katanya “ Hilal Ibn Umaiyyah telah menuduh isterinya berzina dengan Syuraik Ibn Sama’ di hadapan nabi. Nabi bersabda : Hendaklah ada bukti atau saksi, kalau tidak belakang engkau akan disebat. Hilal berkata : Wahai Rasulullah! Apabila seseorang daripada kami(suami) melihat lelaki bersama (melakukan persetubuhan) dengan isterinya, maka adakah seharusnya ia membawa bukti atau saksi juga ? Rasulullah menjawab : saksi atau bukti, kalau tidak belakang engkau akan disebat. Hilal berkata lagi : Demi yang mengutuskan engkau (Allah) dengan kebenaran, sesungguhnya saya berkata benar. Moga-moga Allah akan menurunkan (ayat) yang melepaskan belakangku daripada disebat. Maka turunlah malaikat Jibril menurunkan ayat : surah an-Nur ayat 6 hingga 9.

Berdasarkan ayat tersebut, lafaz (والذين يرمون أزواجهم   ) dan orang –orang yang menuduh isterinya berzina, adalah dalam bentuk lafaz umum. Manakala sebab nuzulnya khusus kepada peristiwa tersebut. Namun demikian , hukumnya tidaklah terhenti kepada peristiwa yang khusus itu sahaja. Ini bererti hukumnya bukan sekadar tertumpu kepada peristiwa Hilal yang menuduh isterinya sahaja, tetapi hokum yang dipegang  ialah dengan meliputi semua kes lain atau kes menuduh isteri untuk semua orang(suami) tanpa perlu kepada dalil atau ayat lain.

Pendapat ini merupakan pendapat yang sahih dan kukuh serta bersesuaian dengan hokum-hukum syarak yang bersifat umum. Pendapat inilah yang dipegang oleh jumhur ulama, para sahabat dan mujtahid. Iaitu mereka menerapkan hukumnya kepada semua kes lain yang sama dengannya walaupun bukan merupakan sebab turunnya ayat tersebut.

Contoh kedua adalah berkaitan dengan sebab penurunan ayat berkenaan kes zihar yang diturunkan terhadap Aus Ibn Samit, yang telah menziharkan isterinya Khaulah. Pegangan jumhur adalah kukuh, kerana sememangnya ulama telah sepakat , di mana keumuman al-Quran atau hadis , bukan hanya dikhususkan kepada orang tertentu sahaja. Hal ini juga kerana keumuman ayat tidak boleh didasarkan kepada keumuman lafaz semata-mata, kerana ia berlaku untuk semua orang yang sama kedudukannya atau sebabnya.

2.    Pendapat Kedua : segelintir ulama berpendapat, yang menjadi pegangan dan hukum yang dipegang ialah sebab yang khusus, bukan lafaz yang umum . Alasannya lafaz yang umum itu menunjukkan sebab yang khusus. Oleh itu ,untuk berpegang atau untuk menghukum kes selain daripada sebab yang ada atau selain sebab yang berlaku itu, maka hendaklah disokong atau harus ada dalil lain, contohnya seperti al-qiyas dan lainnya supaya sebab yang khusus itu dapat disesuaikan dengan musabbabnya.

Rumusan
Al-Quran merupakan sumber perundangan umat islam. Ayat-ayat al-Quran ditafsirkan dan dihuraikan dengan sebaik mungkin. Dalam soal mentafsirkan ayat-ayat al-Quran , dan menentukan pegangan atau cara penentuan sesuatu hukum yang diambil daripada  sesuatu ayat, ulama begitu teliti dengan mengambil kira sebab-sebab penurunan sesuatu ayat.  Mereka berselisih pendapat dalam menentukan perkara yang menjadi fokus utama yang menjadi pegangan sama ada pada lafaz umum atau sebab yang khusus. Hal ini berlaku apabila sesuatu sebab itu khusus, sedangkan ayat yang diturunkan berbentuk umum. Pendapat pertama mengatakan yang menjadi pegangan ialah lafaz yang umum, bukannya sebab yang khusus. Oleh itu hukum yang dipegang juga adalah lafaz yang umum dengan merangkumi bentuk sebab yang khusus. Pendapat kedua pula mengatakan yang menjadi pegangan dan hukum yang dipegang ialah sebab yang khusus, bukan lafaz yang umum . Alasannya lafaz yang umum itu menunjukkan sebab yang khusus. Daripada kedua-dua pendapat ini, pendapat yang paling rajah,sahih dan kukuh adalah pendapat pertama.

Rujukan:
Azmil Hashim, Abd. Rahman Abd. Ghani, 2012, HIQ 3013 Ilmu-Ilmu Al-Quran, Pusat Pendidikan Luar.
Rosmawati Ali, 2010, Pengantar Ulum Quran, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd.

Zulkifli Mohd Tusoff, Muhammad Mukhlis, 2012, Asbabun Nuzul, Batu Caves: PTS Darul Furqan Sdn.Bhd




No comments :

Post a Comment