Followers

Saturday, 16 February 2013

ASBABUN NUZUL- ULUM QURAN

ASBABUN  NUZUL

1.0  PENDAHULUAN

Al-Quran adalah kalam Allah ,yang disampaikan kepada nabi Muhammad dalam bentuk wahyu dengan perantaraan Jibril. Tujuan utama penurunan Al-Quran adalah sebagai panduan, petunjuk serta sebagai ikutan umat manusia sejagat. Kandungannya meliputi segala urusan keduniaan berkaitan kehidupan manusia, merangkumi urusan pentadbiran, akhlak, hukum hakam, ibadat dan sebagainya. Antara kandungannya yang lain adalah tentang sejarah iaitu perkara yang telah berlaku, perkara yang sedang dan akan berlaku. Ayat- ayat yang diturunkan pula meliputi tujuan umum dan tujuan khusus. Ada antara ayat-ayat al-Quran yang diturunkan bagi menghuraikan tentang sesuatu perkara, atau menjelaskan hukum-hakam atau untuk menjawab soalan yang diajukan kepada nabi, Peristiwa yang berlaku di sebalik penurunan sesuatu ayat dinamakan Asbabun nuzul. Pengetahuan mengenai asbabun nuzul, memainkan peranan besar dalam menjelaskan atau menghurai kehendak ayat yang dikaji.

2.0 KONSEP ASBABUN NUZUL.

Pengertian asbabun nuzul dari sudut bahasa adalah sebab-sebab turunnya ayat al-Quran kepada nabi.

Dari segi istilah, asbabun nuzul membawa maksud apa-apa peristiwa yang berlaku yang menyebabkan penurunan sesuatu ayat atau beberapa ayat, atau pemberian jawapan terhadap sebabnya, atau untuk menerangkan tentang hukumnya pada masa berlakunya peristiwa itu atau sebagai menjawab pertanyaan yang diajukan kepada Rasulullah. Lalu turunlah ayat bagi menjelaskan perkara tersebut.

Menurut Manna Khalil al-Qattan dalam bukunya Mabaahits Fii ‘Uluumil Qur’an, Asbabun nuzul adalah sesuatu yang kerananya AlQuran diturunkan untuk menerangkan status (hukun)nya, pada masa hal itu terjadi, baik berupa peristiwa mahupun pertanyaan.[1]

Oleh itu asbabun nuzul dapat diertikan sebagai sebab sebab turun ayat. Dan ‘sebab’ ini dapat dilihat dalam bentuk peristiwa yang berlaku. Apabila ayat diturunkan sebagai penjelasan atau penceritaan sempena berlakunya sesuatu peristiwa.maka peristiwa tersebut dinamakan asbabun nuzul . Contohnya hadis riwayat alBukhari tentang sahabat bernama Khabbab al-‘Arath katanya :

عن جباب بن الأرث رضى الله عنه قال : كنت قيتا ( اي حدادا ) وكان لى على (العاص بن وائل) دين, فجئت أتقاضه ديني فقال لي : لا أعطيك دينك حتى تكفر بمحمد وتعبد اللآت والعزي , فقلت : لا أكفر حتى يميتك الله ثم يبعثك , فقال : إنى اذا لميت ثم مبعوث , فانتظرني الى ذلك اليوم فسأوتى مالا وولدا فاوفيك دينك , فأنزل الله فيه قوله

Maksudnya : “ Aku adalah seorang qain (tukang besi). Al-‘As Ibn Wa’il ada berhutang denganku, lalu aku pergi kepadanya untuk menuntut hutangku itu,Lalu al-‘As berkata kepada ku : aku tidak akan membayar hutangmu itu sehingga engkau kufur kepada Muhammad dan menyembah al-lata dan ‘Uzza. Aku menjawab : aku tidak akan kufur sehingga Allah mematikanmu kemudian membangkitkanmu. Lalu al-‘As bertanya : Aku akan mati dan akan dibangkitkan ?. Aku akan tunggu hari tersebut yang mana aku akan detang dengan harta dan anak, maka aku akan tunaikan hutang engkau. Lalu Allah menurunkan ayat sebagaimana berikut :

أَفَرَءَيتَ الَّذى كَفَرَ بِـٔايٰتِنا وَقالَ لَأوتَيَنَّ مالًا وَوَلَدًا ﴿٧٧﴾ َطَّلَعَ الغَيبَ أَمِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا ﴿٧٨﴾ كَلّا ۚ سَنَكتُبُ ما يَقولُ وَنَمُدُّ لَهُ مِنَ العَذابِ مَدًّا ﴿٧٩﴾ وَنَرِثُهُ ما يَقولُ وَيَأتينا فَردًا ﴿٨٠﴾
Yang bermaksud : “Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta ia berkata: "Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat? (77) Adakah ia telah mengetahui akan perkara yang ghaib, atau adakah ia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?(78) Tidak sekali-kali! Kami akan menulis apa yang dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa, berganda-ganda.(79) Dan Kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakannya itu, dan ia akan datang kepada kami dengan seorang diri.(80)”[2]- (S.Maryam:77-80)

Peristiwa yang berlaku kepada Khabbab al-‘Arath ini disebut sebagai asbabun nuzul.

Bentuk asbabun nuzul yang seterusnya adalah berbentuk pertanyaan , terdapat ayat yang diturunkan dengan sebab pertanyaan yang diajukan kepada Rasulullah yang meminta baginda menyatakan hukum atau menerangkan sesuatu. Contoh yang berkaitan dengan hal ini ialah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Mu’az bin Jabal katanya :

عن معاذ بن جبل رضى االه عنه أنه قال: يا رسول الله, إن اليهود تغشانا ويكثرون تغشانا ,ويكثرون مسألتنا عن الأهلة  فما بال الهلال يبدو دقيقا ثم يزيد حتي يشتوى ويستدير ثم ينقض حتى يعود كما كان ؟   فأنزل الله الآيية

Yang bermaksud “ Sesungguhnya seorang Yahudi telah menipu kami dan menambah masalah kami, dan bertanya berkaitan dengan anak bulan. Kenapa anak bulan itu mula-mula kecil bentuknya ,kemudian semakin besar sehinggalah menjadi separuh ,kemudian menjadi purnama dan kemudian kurang, mengecil balik hingga kedudukannya yang asal. Maka Allah turunkan ayat al Quran sebagaimana firmannya :

يَسـَٔلونَكَ عَنِ الأَهِلَّةِ ۖ قُل هِىَ مَوٰقيتُ لِلنّاسِ وَالحَجِّ ۗ وَلَيسَ البِرُّ بِأَن تَأتُوا البُيوتَ مِن ظُهورِها وَلٰكِنَّ البِرَّ مَنِ اتَّقىٰ ۗ وَأتُوا البُيوتَ مِن أَبوٰبِها ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ ﴿١٨٩﴾ (البقرة: 189)

Maksudnya : “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”

3.0       HIKMAH ASBABUN NUZUL

3.1       Membantu memahami ayat Al-Quran

Ilmu tentang asbabun nuzul mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap bidang pentafsiran Al Quran. Hal ini kerana, pengetahuan mengenainya membantu seseorang memahami ayat dengan lebih baik. Sahabat-sahabat nabi sendiri akan bertindak mendahulukan pendapat sahabat mereka yang mengetahui sebab-sebab turunnya ayat, berbanding pendapat sahabat yang tidak mengetahuinya.
Imam Al-Wahidi dengan tegas menyatakan pendiriannya iaitu:

لَا يُمْكِنُ مَعْرِفَةُ تَفْسِيرِ الآَيَةِ دُونَ الوُقُوف علي  قصتها وبيان نزولها
Maksudnya :” Tidak mungkin seseorang mengetahui tafsir dari sesuatu ayat tanpa mengetahui kisahnya dan keterangan sekitar turunnya ayat tersebut “[3]

Imam Ibnul Daqiq ai-Aid berkata bahawa penjelasan asbabun nuzul adalah jalan paling baik dalam memahami makna-makna al- Quran[4].

Imam As-Syathibi menyatakan bahawa mengetahui asbabun nuzul wajib bagi orang yang ingin mengetahui ilmu alQuran.[5]

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata bahawa mengetahui asbabun nuzul akan membantu untuk memahami ayat Al-Quran, kerana ilmu tentang asbabun nuzul akan membawa kepada ilmu musabab ( ayat al-Quran yang diturunkan berkaitan dengan sebab itu).[6] Ini bererti dengan mengetahui sebab sesuatu ayat diturunkan, akan membawa kepada pengetahuan mengenai akibat. Contohnya firman Allah , surah Ali ‘imran ayat 188

لا تَحسَبَنَّ الَّذينَ يَفرَحونَ بِما أَتَوا وَيُحِبّونَ أَن يُحمَدوا بِما لَم يَفعَلوا فَلا تَحسَبَنَّهُم بِمَفازَةٍ مِنَ العَذابِ ۖ وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ﴿١٨٨﴾


Yang bermaksud : “Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.”

Berdasarkan ayat ini, setip orang yang gembira dengan apa yang dikerjakannya dan suka dipuji terhadap apa yang belum dikerjakannya akan disiksa, maka semua orang pasti menerima azab.Isi kandungan ayat ini tidak dapat difahami sehingga Ibnu Abbas r.a menjelaskan bahawa ayat itu diturunkan kepada kaum Yahudi ketika mereka oleh nabi s.a.w tentang sesuatu tetapi mereka menyembunyikannya, dan memberitahu perkra lain kepada Rasulullah dengan keadaan mereka memperlihatkan telah memberitahu sesuatu kepada nabi dengan niat supaya mendapat pujian daripada baginda. Hal ini memperlihatkan bahawa pengetahuan tentang asbabun nuzul membantu kefahaman ayat dengan lebih jelas.[7]

3.2       Mengetahui Pengkhususkan Hukum

Terdapat asbabun nuzul yang menjelaskan sesuatu hukum dan membetulkan kesilapan, sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 43 :

يأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا لا تَقرَبُوا الصَّلوٰةَ وَأَنتُم سُكٰرىٰ حَتّىٰ تَعلَموا ما تَقولونَ وَلا جُنُبًا إِلّا عابِرى سَبيلٍ حَتّىٰ تَغتَسِلوا ۚ وَإِن كُنتُم مَرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لٰمَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا صَعيدًا طَيِّبًا فَامسَحوا بِوُجوهِكُم وَأَيديكُم ۗ إِنَّ اللَّهَ كانَ عَفُوًّا غَفورًا ﴿٤٣﴾

Yang bermaksud :”
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Ayat ini diturunkan disebabkan ada sahabat yang menunaikan solat dalam keadaan mabuk,menyebabkan beliau tersilap ketika membaca surah al-Kafirun. Ayat ini diturunkan untuk menjelaskan supaya jangan sembahyang dalam keadaan mabuk.[8]


3.3      Mengetahui Dengan Jelas Kepada Siapa Dan Apa Sebab Sebenar Turunnya Sesuatu  Ayat.

Pengetahuan mengenai Asbabun nuzul membantu mengetahui dengan jelas kepada siapa dan apa sebab sebenar turunnya sesuatu ayat. Contohnya hadis riwayat Bukhari yang menceritakan tentang Aisyah r.a menegur Marwan ketika ia menuduh saudaranya Abdul Rahman b. Abu Bakar dengan berkata: Demi Allah bukan di yang berkaitan dengan ayat itu, jika aku hendak aku boleh menyebutkan siapa dia dalam ayat 17 ,surah al Ahqaf :

وَالَّذِي قَالَ لِوَالِدَيْهِ أُفٍّ لَّكُمَا أَتَعِدَانِنِي أَنْ أُخْرَجَ وَقَدْ خَلَتْ الْقُرُونُ مِن قَبْلِي وَهُمَا يَسْتَغِيثَانِ اللَّهَ وَيْلَكَ آمِنْ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ فَيَقُولُ مَا هَذَا إِلَّا أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ
Yang bermaksud :  Dan (sebaliknya amatlah derhakanya) orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya (ketika mereka mengajaknya beriman): "Ah! Bosan perasaanku terhadap kamu berdua! Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan keluar dari kubur, padahal berbagai umat sebelumku telah berlalu (masih lagi belum kembali)? " Sambil mendengar kata-katanya itu - ibu bapanya merayu memohon pertolongan Allah (menyelamatkan anak mereka) serta berkata (kepada anaknya yang ingkar itu): "Selamatkanlah dirimu! Berimanlah (tentang hidup semula menerima balasan amal)! Sesungguhnya janji Allah tetap benar". Lalu ia menjawab (dengan angkuhnya): "Semuanya itu hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!"

3.4      Faedah Mengetahui Sebagai Sanggahan Terhadap Dugaan Hashr (Batasan Tertentu)

Antara hikmah lain dalam mengetahui asbabun nuzul adalah mengetahui sanggahan terhadap dugaan hashr( batasan tertentu) iaitu menolak sangkaan yang tidak benar tentang sesuatu batasan hukum, sebagaimana yang diriwayatkan oleh imam Syafi’i tentang firman Allah dalam surah al-An’am ayat 145:

قُل لا أَجِدُ فى ما أوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلىٰ طاعِمٍ يَطعَمُهُ إِلّا أَن يَكونَ مَيتَةً أَو دَمًا مَسفوحًا أَو لَحمَ خِنزيرٍ فَإِنَّهُ رِجسٌ أَو فِسقًا أُهِلَّ لِغَيرِ اللَّهِ بِهِ ۚ فَمَنِ اضطُرَّ غَيرَ باغٍ وَلا عادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفورٌ رَحيمٌ﴿١٤٥﴾
 
Yang bermaksud :” Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Dalam menjelaskan hal ini beliau menyatakan bahawa prang-orang kafir ketika mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah dan menghalalkan apa-apa yang diharamkan oleh Allah serta mereka terlalu berlebihan, maka turunlah ayat sebagai bantahan terhadap mereka. Dengan demikian seolah-olah Allah berfirman” Yang halal hanya yang kamu anggap haram dan yang haram itu yang kamu anggap halal”.

Imam Al Haramain berkata “ uslub ayat tersebut amat indah. Kalau saja Imam Syafi’i tidak menyatakan pendapat demikian,nescaya kami tidak akan dapat menarik kesimpulan perbedaan imam Malik dalam hal hashr/ batasan yang diharamkan sebagai mana di sebut dalam ayat di atas.

4.0       CARA MENGETAHUI SEBAB NUZUL

Untuk mendapatkan pengetahuan tentang asbabun nuzul ,tidak boleh dengan hanya bersandarkan pendapat atau akal fikiran atau Bi al-ra’yi semata-mata. Sebaliknya perlulah disandarkan kepada riwayat yang sahih dan mendengar serta menyaksikan sendiri ayat itu diturunkan ataupun mereka mengetahui sebab-sebabnya dan mengkaji mengenainya. Mereka mestilah terdiri dari kalangan sahabat, tabi’in dan mereka yang bertungkus lumus mengkaji ilmu ini yang terdiri dari kalangan ulama yang dipercayai.[9]

Al Wahidi berkata “ Tidak boleh berbicara sebab turunnya ayat-ayat al Quran, kecuali dengan periwayatan yang dinukilkan dari mereka yang menyaksikan turunnya ayat, mengetahui sebab-sebab turunnya dan meneliti ilmunya.[10]

Untuk mengetahui asbabun nuzul bukanlah perkara mudah, ia mestilah berdasarkan panduan dan riwayat yang sahih. Ulama salaf dan ahli tafsir begitu teliti dan sangat berhati-hati dalam masalah ini. Ulama biasanya mengetahui sebab turunnya sesuatu ayat melalui riwayat para tabi’in atau melalui sahabar Rasulullah atau melalui riwayat yang secara sah berasal daripada nabi. Dan riwayat-riwayat tersebut bukanlah pendapat semata-mata , tetapi merupakan riwayat yang marfu’ yang bersandarkan kepada nabi, barulah riwayat tersebut diterima sebagai riwayat yang sahih.

Berkaitan dengan pentingnya riwayat-riwayat yang sah bersandarkan kepada nabi atau  riwayat marfu’ itu adalah untuk diterima sebagai hukum atau sah. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh al-Wahidi : “ Adalah tidak sah menyatakan sesuatu pendapat berkaitan dengan asbab nuzul , kecuali dengan bersandarkan kepada riwayat yang sah ataupun dengan mendengar sendiri secara langsung daripada mereka yang menyaksikan turunnya ayat, mengetahui sebabnya serta berusaha bersungguh-sungguh untuk menelitinya.[11]

  
5.0       UNGKAPAN ASBABUN NUZUL

Dalam usaha untuk mengetahui lebih mendalam tentang  sebab nuzul, perlu juga diketahui lafaz-lafaz atau ungkapan yang menerangkan asbabun nuzul. Ungkapan tersebut dapat dilihat dalam dua bentuk iaitu ungkapan yang tegas dan ungkapan yang tidak tegas.

5.1       Ungkapan Yang Tegas Atau Sighah Sharih Pada Sababiah.

Ungkapan atau sighah sharih pada sababiah ini, adalah dalam bentuk pernyataan yang tegas mengenai sebabnya. Jika seseorang periwayat itu mengungkap perkataan sebab, contohnya perawi berkata sebab turun ayat ini adalah begini atau menyatakan ungkapan yang menunjukkan urutan peristiwa, seperti menggunakan huruf fa al-ta’qibiah yang bermaksug maka. Dan dirangkaikan dengan lafaz turunlah ayat ini. Contohnya : Rasulullah telah ditanya sesuatu perkara, maka turunlah ayat ini.

Bentuk pernyataan yang dinyatakan di atas adalah pernyataan yang jelas tentang sebab. Contoh periwayatan yang menggunakan lafaz atau ungkapan ini dapat dilihat berdasarkan hadis daripada Ibn Umar yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ibn Umar berkata “ Telah diturunkan surah al Baqarah, ayat 223 : Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanamanmu. Ia telah diturunkan berkaitan dengan persoalan menyetubuhi isteri dari arah belakang. “[12]

Antara contoh lain ialah mengenai riwayat yang menyatakan sebab turunnya ayat ini iaitu :

وَيَسـَٔلونَكَ عَنِ الرّوحِ ۖ قُلِ الرّوحُ مِن أَمرِ رَبّى وَما أوتيتُم مِنَ العِلمِ إِلّا قَليلًا ﴿٨٥﴾

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".

Diriwayatkan oleh imam Bukhari dari Ibn Mas’ud ia berkata,” aku berjalan bersama nabi s.a.w di Madinah, suatu ketika nabi terlelap di hamparan rumput. Kemudian terdapat sekumpulan orang-orang Yahudi melalui kawasan tersebut. Sebahagian di antara mereka ada yang menyuruh salah seorang teman mereka bertanya kepada nabi tentang roh. Kemudian baginda berdiri sejenak sambil mengangkat kepala dan aku tahu baginda akan menerima wahyu.”[13]

5.2       Ungkapan Yang Tidak Tegas Atau Sighah Sharih Muhtamilah  Lisababiah

Terdapat pernyataan tentang sebab nuzul yang menggunakan ungkapan yang berbentuk kemungkinan mengenainya, tidak dalam bentuk pernyataan yang jelas.Perawi tidak mengungkapkan dengan jelas adanya sesuatu kejadian atau peristiwa di sebalik penurunan ayat tersebut , mereka hanya mengemukakan satu riwayat dengan ungkapan –ungkapan berikut:

  •    إن الآية نزلت"....
  • نزلت الآية....   .
  •      نزلت هذه الآية في....
  •       في إباحة كذا....
  •       ................... أو في منع كذا ....

 Bentuk ini bermaksud ungkapan yang mana kemungkinan atau boleh jadi menerangkan tentang sebab nuzul atau hanya sekadar menjelaskan kandungan ayat.


6.0       PEMBAHAGIAN PENURUNAN AYAT BERSEBAB

Ayat- ayat yang mempunyai sebab nuzul ini dapat dikelaskan kepada :

  •       Satu ayat satu sebab nuzul.
  •      Satu ayat beberapa sebab nuzul
  •      Satu sebab nuzul untuk banyak ayat.
6.1       Satu Ayat Satu Sebab Nuzul

Ia membawa maksud penurunan satu ayat untuk satu sebab nuzul. Hal ini berlaku pada sesetengah ayat yang telah diturunkan dengan pernyataan dan riwayat sebab nuzul yang jelas, tanpa ada banyak riwayat yang menghubungkannya dengan asbabun nuzul yang lain.

6.2       Satu Ayat Untuk Beberapa Sebab Nuzul

Ini bermaksud terdapat beberapa riwayat mengenai sebab nuzul sesuatu ayat.  Dalam hubungan inilah ayat-ayat al quran yang ada sebab turunnya, didapati sebahagian daripadanya dikatakan turunnya disebabkan lebih daripada satu sebab , Walaupun pada sesetengah keadaan sebab yang diterima hanya satu sahaja. Bagi menyelesaikan masalah ini ulama akan membuat pertimbangan dengan salah satu daripada perkara-perkara berikut:
6.2.1      Apabila riwayat itu banyak dan semuanya menegaskan tentang sebab nuzul, namun penilaian akan dibuat berdasarkan sanad yang sahih, iaitu apabila didapati salah satu daripada dua riwayat adalah nyata dan jelas sahih , dan satu riwayat lagi didapati jelas tidak sahih atau tidak munasabah. Maka riwayat yang sahih itu akan diterima sebagai sebab sebenar turunnya ayat.
6.2.2      Sekiranya kedua-dua riwayat yang diterima adalah sahih, namun antara keduanya masih boleh ditarjihkan disebabkan salah satu daripada keduanya lebih sahih atau disebabkan perawi daripada salah satu riwayar tersebut telah melihat sendiri kejadian tersebut, maka riwayat itulah yang seharusnya diterima sebagai asbabun nuzul
6.2.3      Sekiranya kedua-dua riwayat adalah sahih dan antara keduanya tidak dapat ditarjihkan antara satu sama lain, maka hendaklah diterima kedua-duanya sebagai sebab nuzul atas alasan ayat tersebut diturunkan selepas terjadinya kedua-duanya peristiwa dan dalam tempoh waktu yang berhampiran,
6.2.4      Sekiranya kedua-dua riwayat yang dinyatakan sama-sama sahih, dan tidak dapat ditarjihkan antara satu sama lain, serta ia juga tidak dapat dikumpulkan serentak disebabkan jarak dan tempoh waktu berlaku peristiwa antara keduanya yang jauh. Maka dalam konteks ini kita hendaklah membuat tanggapan bahawa ayat tersebut diturunkan berulang kali.
6.2.5      Apabila kedua-dua riwayat atau ungkapan atau lafaz tidak tegas, Contohnya perawi berkata: ayat ini diturunkan mengenai hal ini, atau perawi berkata : aku mengira ayat ini diturunkan mengenai hal ini, maka dalam hal seperti ini , tidak ada sebarang percanggahan di antara riwayat-riwayat tersebut. Kerana sebab atau maksud riwayat tersebut adalah sebagai penjelasan. Ia bukan menyatakan tentang sebab nuzul, kecualilah jika terdapat qarinah  dalam salah satu riwayat tersebut yang membawa maksud penjelasan tentang sebab nuzul.
6.2.6      Apabila salah satu daripada ungkapan riwayat tersebut tidak tegas, contohnya perawi berkata : Ayat ini diturunkan mengenai hal ini. Manakala perawi yang lain pula menyatakan sebab nuzul dengan tegas.Maka yang menjadi pegangan adalah riwayat tang menyatakan sebab nuzul yang tegas.

6.3        Satu Sebab Nuzul Untuk Banyak Ayat

Kadang kala terdapat satu kejadian yang menyebabkan wahyu turun dua kali atau lebih, ulama menyebut situasi ini dengan istilah turun beberapa wahyu dengan sebab yang satu. Ini menunjukkan permasalahan itu penting.


7.0       CONTOH AYAT YANG MENGANDUNGI ASBABUN NUZUL.

7.1       Surah Al-Baqarah ayat 26-27

إِنَّ اللَّهَ لا يَستَحيۦ أَن يَضرِبَ مَثَلًا ما بَعوضَةً فَما فَوقَها ۚ فَأَمَّا الَّذينَ ءامَنوا فَيَعلَمونَ أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَبِّهِم ۖ وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَيَقولونَ ماذا أَرادَ اللَّهُ بِهٰذا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِ كَثيرًا وَيَهدى بِهِ كَثيرًا ۚ وَما يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الفٰسِقينَ ﴿٢٦﴾ الَّذينَ يَنقُضونَ عَهدَ اللَّهِ مِن بَعدِ ميثٰقِهِ وَيَقطَعونَ ما أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَن يوصَلَ وَيُفسِدونَ فِى الأَرضِ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ ﴿٢٧﴾

Yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik; (Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.”
Ibnu Mas’ud berkata, ketika Allah s.w.t membuat dua perumpamaan bagi sifat dan keadaan orang munafik, sebagaimana yang disebut dalam kata-Nya iaitu pada ayat 17 hingga19 surah al Baqarah. Perbandingan hal mereka( golongan munafik) sama seperti orang yang menyalakan api.Apabila api itu menerangi sekelilingnya, tiba-tiba Allah menghilangkan cahaya yang menerangi mereka, dan dibiarkannya dalam gelap gelita, tidak dapat melihat sesuatupun.

Mereka seolah-olah orang yang pekak,bisu dan buta ; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran). Atau perumpamaannya seperti orang yang ditimpa hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap gelita, dengan guruh dan kilat, merekamenyumbat jari ke telinga masing-masing kerana mereka takut mati.

Mustahil mereka boleh terlepas, sedang pengetahuan dan kekuasaan Allah meliputi orang-orang yang kafir itu,orang munafik berkata” sesungguhnya Allah maha tinggi dan maha mulia untuk membuat perumpamaan seperti itu, lalu Allah menurunkan ayat 26 dan 27 surah al-Baqarah.

As-Sayuti berkata “ laporan ini adalah laporan yang paling sahih daripada laporan lainnya dari segi sanad dan lebih sesuai matannya atau lebih tepat makna ayat tersebut”.

Qatadah berkata, ketika Allah menyebut mengenai al ankabut( sarang labah-labah) dan az-Zubab(lalat) dalam al-Quran, orang musyrik berkata “ mengapa al-ankabut dan az-zubab perlu disebut?” Lalu Allah menurunkan ayat:

إِنَّ اللَّهَ لا يَستَحيۦ أَن يَضرِبَ مَثَلًا ما بَعوضَةً فَما فَوقَها ۚ
Yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya”

Ibnu Jarir berkata, laporan paling sahih dan mendekati kebenaran mengenai sebab turunnya ayat ini adalah apa yang kami sebutkan iaptu laporan daripada Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas.[14]

7.2       Surah Ali Imran, ayat 77

إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمٰنِهِم ثَمَنًا قَليلًا أُولٰئِكَ لا خَلٰقَ لَهُم فِى الءاخِرَةِ وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيٰمَةِ وَلا يُزَكّيهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ ﴿٧٧﴾
 
                       
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Abdullah bin Mas’ud berkata, Rasulullah s.a.w bersabda,” barang siapa yang bersumpah bagi mendapatkan harta seseorang dengannya, sedangkan dia berbuat kejahatan, nescaya dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan Dia murka kepadanya,”Lalu Allah menurunkan ayat  ini (ayat 77 surah Ali Imran).

Lalu al-‘Asy’ath bin Qais datang dan berkata, “ perkara yang diceritakan oleh Abu Abdul Rahman kepada kalian adalah ayat yang turun berkenaan denganku, di mana aku memiliki perigi di kawasan tanah milik anak bapa saudaraku. Dia berkata mana saksimu”? aku berkata “aku tidak mempunyai saksi”, Dia berkata “ sekiranya begitu, engkau bersumpah”. Aku berkata “ Wahai Rasulullah, sekiranya begitu dia juga mesti bersumpah” Kemudian Rasulullah mengucapkan hadis di atas, maka Allah menurunkan wahyu yang menjadi pembenar ucapannya.

Abdullah bin Abi Aufa berkata ;” Sesungguhnya seorang lelaki menghamparkan jualannya di pasar, lalu dia bersumpah yang dia memberikan barang dagangannya kepada seorang yang tidak pernah dia berikan , dengan tujuan supaya membolehkannya menyakiti seseorang daripada kaum muslimin dengan barang tersebut, maka turunlah ayat di atas.”

Syeikh Muqbil menyatakan kedua-dua sebab turunnya ayat di atas tidak saling bertentangan dan kemungkinan kedua-dua sebab di atas adalah untuk ayat 77 tersebut, apatah lagi lafaz ayat lebih umum dari peristiwa.[15]

7.3       Surah An-Nisa’ ayat 176

يَستَفتونَكَ قُلِ اللَّهُ يُفتيكُم فِى الكَلٰلَةِ ۚ إِنِ امرُؤٌا۟ هَلَكَ لَيسَ لَهُ وَلَدٌ وَلَهُ أُختٌ فَلَها نِصفُ ما تَرَكَ ۚ وَهُوَ يَرِثُها إِن لَم يَكُن لَها وَلَدٌ ۚ فَإِن كانَتَا اثنَتَينِ فَلَهُمَا الثُّلُثانِ مِمّا تَرَكَ ۚ وَإِن كانوا إِخوَةً رِجالًا وَنِساءً فَلِلذَّكَرِ مِثلُ حَظِّ الأُنثَيَينِ ۗ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم أَن تَضِلّوا ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ ﴿١٧٦﴾
 
Maksudnya :” Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan". Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Jabir bin Abdillah berkata “ aku dalam keadaan sakit, lalu Rasulullah dan Abu Bakar mendatangiku. Keduanya mengunjungiku sambil berjalan. Lalu aku pengsan.Maka beliau berwuduk dan menyiramkan air wuduknya kepadaku, akupun tersedar dan berkata “Wahai Rasulullah, bagaimana aku memutuskan perkara dalam hartaku?” Maka beliau tidak menjawab sedikitpun sehingga turun ayat mirath (waris)( Surah An-Nisa’ ayat 176)[16]

7.4       Surah Al-Maidah ayat 87-88

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا لا تُحَرِّموا طَيِّبٰتِ ما أَحَلَّ اللَّهُ لَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ ﴿٨٧﴾ وَكُلوا مِمّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلٰلًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذى أَنتُم بِهِ مُؤمِنونَ﴿٨٨﴾
Maksudnya :’  Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.”

Ibnu Abbas mengatakan seorang lelaki datang berjumpa nabi lalu berkata “Wahai Rasulullah, apabila aku makan daging aku cenderung kepada wanita dan syahwatku, oleh sebab itu aku mengharamkan daging ke atas diriku”. Maka Allah menurunkan ayat ini.

Abu Qilabah berkata, beberapa orang dari sahabat Nabi mahu meninggalkan dunia dengan menjauhkan perempuan dan hanya mahu beribadah.Lalu Rasulullah bangkit dan mengatakan keoada mereka dengan perkataan yang keras,” Sesungguhnya kemusnahan umat sebelum kamu lantaran terlalu mengada-ngada dalam beribadah dalam diri mereka, lalu Allah menetapkan hukuman yang keras kepada mereka.

Mereka yang tinggal di rumah-runah dan gereja-gereja mereka. Oleh itu beribadahlah kamu kepada Allah dan jangan kamu mensyirikkannya dengan sesuatu, berhajilah kamu , berumrahlah kamu  dan tunaikanlah syariatnya.Pasti dia akan menunjukkan kamu jalan yang lurus dan membetulkanmu. Abu Qilabah berkata “lalu turun ayat di atas berkenaan mereka.[17]

7.5       Surah Ad-Dukhan ayat 43-49

إِنَّ شَجَرَتَ الزَّقّومِ﴿٤٣﴾ طَعامُ الأَثيمِ﴿٤٤﴾ كَالمُهلِ يَغلى فِى البُطونِ ﴿٤٥﴾
كَغَلىِ الحَميمِ ﴿٤٦﴾خُذوهُ فَاعتِلوهُ إِلىٰ سَواءِ الجَحيمِ ﴿٤٧﴾ ثُمَّ صُبّوا فَوقَ رَأسِهِ مِن عَذابِ الحَميمِ ﴿٤٨﴾ ذُق إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الكَريمُ ﴿٤٩﴾
Maksudnya :” (Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum,(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).(Makanan ini pula panas)seperti tembaga cair, mendidih dalam perut.Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): "Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka."Kemudian curahkanlah di atas kepalanya - azab seksa dari air panas yang menggelegak"Serta dikatakan kepadanya (secara mengejek): "Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)”

Ibnu Abbas mengatakan ketika Rasulullah s.a.w pokok al-Zaqqum, untuk menakut-nakutkan orang Quraisy, Abu Jahal berkata: “ Wahai orang quraisy, adakah kamu tahu apa itu pokok Zaqqum?” Mereka menjawab:”tidak tahu”.Dia berkata:”Orang-orang Madinah menamakannya dengan keju,demi Allah, sekiranya kita memperolehnya,kita akan merasanya dengan sepuas-puasnya. Lalu turunlah ayat :

إِنَّ شَجَرَتَ الزَّقّومِ
“(Ingatlah), sesungguhnya itulah pokok Zaqqum”

Ibnu Abbas berkata:”Pada suatu hari,Abu Jahal lalu di hadapan Rasulullah ketika beliau sedang berehat.Ketika melewatinya Rasulullah membacakan ayat :

أَوْلَى لَكَ فَأَوْلَى(34) ثُمَّ أَوْلَى لَكَ فَأَوْلَى(35)
Yang bermaksud : “(Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat! Kemudian api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak.”

Lalu abu Jahal berkata :”Kepada siapa engkau beri ancaman?” Beliau berkata lagi:”Dengan apa engkau memberikan ancaman?”Baginda menjawab:”Aku mengancammu dengan tuhan yang maha perkasa lagi maha mulia”.Abu Jahal berkata:”Bukankah aku orang yang perkasa dan orang yang mulia?” Lalu Allah menurunkan ayat di atas.[18]

7.6       Surah Al –Ahqaf ayat 10

قُل أَرَءَيتُم إِن كانَ مِن عِندِ اللَّهِ وَكَفَرتُم بِهِ وَشَهِدَ شاهِدٌ مِن بَنى إِسرٰءيلَ عَلىٰ مِثلِهِ فَـٔامَنَ وَاستَكبَرتُم ۖ إِنَّ اللَّهَ لا يَهدِى القَومَ الظّٰلِمينَ ﴿١٠﴾

Yang bermaksud: Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu jika Al-Quran ini (yang datangnya) dari Allah dan kamu mengingkarinya, pada hal ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Quran ini, lalu ia percayakan (Al-Quran ini dari Allah), sedang kamu dengan sombong angkuh mengingkarinya? (Tidakkah dengan yang demikian kamu bersifat zalim)? Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim (yang degil dalam kekufurannya)".




[1] H.Ahmad Yani, 2008,Majelis Orang-Orang Saleh: Renungan Hadis-Hadis Pilihan,Jakarta: Gema Insani. H.380
[2] Rosmawati Ali,2010, Pengantar Ulum Quran, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd. H. 129
[3]H.A.F Djunaidi, Azharuddin Sahil, Hisyam Azwardi, 1990, Mukadimah Al-Quran dan Tarsirnya,Indonesia: Departmen Agama Republik Indonesia. H.89
[4] Yusuf Qaradawi, 1999,  Berinteraksi dengan Al-Quran , Jakarta:Gema Insani Press.h.360
[5] Ibid.h 361
[6] Ibid. h.360
[7] Azmil Hashim, Abd. Rahman Abd Ghani, 2012, HIQ3013 Ilmu-Ilmu Al-Quran, Tanjong Malim: UPSI.h.79
[8] Rosmawati Ali,2010, Pengantar Ulum Quran, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd. H. 138

[9] Rosmawati Ali,2010, Pengantar Ulum Quran, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd. H. 132
[10] Jalaluddin as Suyuthi, 2008, Asbabun Nuzul ,Sebab Turunnya Ayat Al-Quran, Jakarta : Gema Insan..h.10
[11] Rosmawati Ali,2010, Pengantar Ulum Quran, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd. H. 133
[12] Rosmawati Ali,2010, Pengantar Ulum Quran, Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd. H. 135

[13] Azmil Hashim, Abd. Rahman Abd Ghani, 2012, HIQ3013 Ilmu-Ilmu Al-Quran, Tanjong Malim: UPSI.h.84

[14] Zulkifli Mohd Yusoff, Muhammad Mukhlis,2012, Asbabun Nuzul ,Batu Caves:PTS Darul Furqan .h.10
[15] Zulkifli Mohd Yusoff, Muhammad Mukhlis,2012, Asbabun Nuzul ,Batu Caves:PTS Darul Furqan .h.143

[16] Ibid,h.254
[17] Ibid,h.284.
[18] Ibid,h.635

1 comment :

  1. terimakasih sharenya,,
    asbabunnuzul memang bisa menjadi pelengkap dalam upaya memahami kandungan makna dalam Qur'an. saya jadi terinspirasi untuk ukut menulis blog tentang asbabunnuzul. ini sebagian materi yang sudah di publish kompilasi asbabunnuzul

    ReplyDelete